JABATAN Agama Islam Pahang (Jaip) menempatkan 29 guru tahfiz di seluruh masjid daerah di negeri itu bagi membudayakan bacaan al-Quran di kalangan umat Islam.
Sejak penempatan pertama guru tahfiz itu Ramadan lalu, sambutan kariah masjid amat baik.
Timbalan Yang Dipertua Maip, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata program Jaip bersama Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Maip) itu membuktikan komitmen jitu memartabatkan al-Quran.
"Pahang negeri perintis program ini yang menempatkan guru tahfiz bertauliah sepenuh masa di masjid.
"Ia selari dengan saranan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah tahun lalu mahu melahirkan ramai huffaz (penghafal) al-Quran di negeri ini," katanya.
Beliau berkata, kehadiran guru tahfiz di setiap masjid membuka ruang kepada umat Islam mempelajari bacaan al-Quran dengan lebih sempurna.
"Setiap guru tahfiz itu menerima elaun RM1,500 sebulan.
''Imbuhan ini mungkin kecil, tetapi lebih baik berbanding sebelum ini yang tidak menerima bayaran.
''Saya yakin setiap guru tahfiz itu komited memberi ilmu agama dan membudayakan al-Quran kepada umat Islam," katanya.
Fikri Omar, 25, berkata pemilihannya sebagai guru tahfiz memberinya peluang berkongsi ilmu kepada umat Islam.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Qiraat, Universiti Al-Azhar, Mesir, berkata peluang bergelar guru tahfiz membantunya menyebar ilmu serta kepentingan al-Quran.
"Peluang ini akan saya manfaatkan sebaik mungkin," katanya yang ditempatkan di Masjid Tengku Ahmad, Jerantut.
Mohd Hanipah Seman, 25, yang ditempatkan di Masjid Indera Mahkota, Kuantan bersyukur dapat mencurahkan ilmu bagi membaiki bacaan al-Quran masyarakat setempat.
"Tumpuan saya golongan remaja kerana mereka pelapis memartabatkan al-Quran di masa depan," katanya.
0 comments:
Post a Comment