KUALA LUMPUR 26 Mac - Belum pun cukup seminggu kes seorang bayi
perempuan ditemui di tempat pembuangan sampah di Ipoh, Perak, negara
sekali lagi digemparkan dengan penemuan mayat seorang bayi lelaki dalam
keadaan yang tragis hari ini.
Jika bayi perempuan yang ditemui itu selamat dan diberikan nama
Mahsya Kurnea, nasib yang dilalui bayi lelaki ini tidak sama.
Sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang masih bertali pusat itu diisi
dalam plastik lalu dibuang di tepi jalan berhampiran sebuah kilang simen
di Jalan Padang Tembak, Kampung Melayu Subang.
Sebelah tangan bayi malang yang telah bercerai dari badan itu
kemudiannya digonggong oleh salah seekor daripada sekumpulan anjing yang
menyelongkar bungkusan plastik itu.
Sukar untuk digambarkan betapa seksanya mayat bayi tidak berdosa itu
diperlakukan.
Mujurlah ada seorang insan yang prihatin, kebetulan melalui jalan
tempat kejadian kira-kira pukul 4 petang, ternampak kejadian menyayat
hati itu.
Lelaki itu pada mulanya ternampak seekor anjing sedang menggonggong
sesuatu berhampiran sebuah kilang simen.
Setelah dihampiri, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati apa
yang digonggong oleh anjing itu adalah tangan kecil bayi.
Dia juga berasa pelik apabila ternampak sekumpulan anjing sedang
mengerumuni satu bungkusan plastik.
Lelaki itu kemudian menghalau anjing-anjing tersebut dan apa yang
menimbulkan kebimbangan dalam hatinya terjawab - bungkusan plastik itu
berisi mayat seorang bayi.
Dia kemudiannya segera memaklumkan penemuan itu kepada polis yang
bingkas datang ke lokasi mayat bayi tersebut ditemui.
Sabtu lalu, Mahsya Kurnea ditemui dalam kawasan semak berhampiran
tempat pembuangan sampah di Jalan Medan Ipoh Satu di Ipoh.
Malah, tidak tahan dengan isu pembuangan bayi ini - Utusan
Malaysia menganjurkan kempen 'Kami Prihatin' bagi membangkitkan
kesedaran masyarakat terhadap gejala tidak berperikemanusiaan ini.
Melalui program amal itu, barisan artis terkenal tanah air akan
bergabung merakamkan sebuah lagu khas 'Harapan Tanpa Suara'.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner
Arjunaidi Mohamed berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, bayi malang
itu dibuang sebaik sahaja dilahirkan kerana masih terdapat tali pusat.
Beliau mengesahkan hanya tangan bayi itu yang terputus manakala
anggota lain masih lengkap.
"Terdapat kecederaan pada anggota badan bayi berkenaan dipercayai
akibat gigitan anjing liar. Mayat bayi itu dihantar ke Hospital Sungai
Buloh untuk bedah siasat," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia
di sini hari ini.
Masih terlalu awal, katanya, untuk mengenal pasti bila bayi itu
dilahirkan tetapi polis tidak menolak kemungkinan ia dibuang pagi ini.
Sehubungan itu, Arjunaidi meminta orang awam yang mempunyai maklumat
mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah
Petaling Jaya di talian 03-79662222 bagi membantu siasatan.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu
menyembunyikan kelahiran.
1 comments:
kenapa makin x bertamadun manusia ni??? dah kembali kezaman jahiliah ker? kesian baby tu... tu kan nyawa? bukan ke melahirkan manusia tu melalui jalan yg panjang???? 9bln dalam kandungan... belum masuk sakit melahirkan... kenapa buat mcm tu...
Post a Comment