CLICK HERE FOR FREE BLOG LAYOUTS, LINK BUTTONS AND MORE! »

ORGANISASI RAKAN SURAU SESI 2011/2012

PENAUNG :
DR MOHAMMAD AZIZ SHAH BIN MOHAMED ARIP
(PENGETUA KOLEJ HARUN AMINURRASHID )

PENASIHAT :
USTAZ ROSLIZA @ ROSLI BIN MAHMUD
( PENGARAH PUSAT ISLAM UPSI )
DR MAKMUR BIN HARUN
( FELO/PENASIHAT )

PEMANTAU :
HUSAIRI BIN HANAFI
EMY NAZIRA BINTI EMBONG

PENGERUSI :
HAFIZALULLAH BIN ALIAS

TIMBALAN PENGERUSI 1 :
HENG TIGER

TIMBALAN PENGERUSI 2 :
SITI HAFSAH BINTI HAJI MOHTAR

SETIAUSAHA :
NUR HAKEMAH BINTI HASSAN

TIMBALAN SETIAUSAHA :
NURUL IDAYU BINTI MAT NOR

BENDAHARI :
SITI NORAINI BINTI SUKERNA

TIMBALAN BENDAHARI :
HASNOR BINTI IZZATIE

LAJNAH DAKWAH DAN PENERANGAN ( LDP )
RAIS : MOHD AHZAM BIN CHE MAT
RAISSAH : NORMA BINTI SUDIRMAN

LAJNAH 3K
RAIS : MOHD FARHAN BIN ABD LATIB
RAISSAH : NUR HANIS BINTI SAMSUDIN

LAJNAH EKONOMI DAN KEUSAHAWANAN ( LE )
RAISSAH 1 : HUDA BINTI YUSOF
RAISSAH 2 : AMNAH BINTI ABDUL HAMID

LAJNAH TARBIAH ROHANIAH ( LTR )
RAIS :MOHAMMAD HALIMI BIN ABDUL HADI
RAISSAH : NUR AQILAH BINTI MOHAMAD NASIR

LAJNAH TARBIAH JASADIAH ( LTJ )
RAIS : SYED AHMAD WAJEEH BIN SYED SYEIKH
RAISSAH : SITI THALATHIAH BINTI CHE PA

LAJNAH HELWA
RAISAH 1 : NORIDAYU BINTI MOHAMED
RAISSAH 2 : SITI NAILAH FARAFISHAH BINTI ABDUL

LAJNAH PENERBITAN DAN INFORMASI ( LPI )
RAIS : AHMAD GADDAFIE BIN SABRIL AMAN
RAISSAH : SITI HAJAR BINTI ALIYAIS

LAJNAH PENGURUSAN SURAU
RAIS : NUR AFIFI BIN MOHAMAD MAHMOD
RAISSAH : HANNAN HANINA BINTI MOHAMAD

Wednesday, September 29, 2010

LOVE IS CINTA













Cintailah sesiapa sahaja

Asal wadahnya cinta Allah

Hati tidak resah

Jiwa tak akan gelisah

Jauh terhubung rindu

Dekat terikat padu



Cinta. Apa itu cinta? Jika kita berbicara tentang cinta, pasti kita tidak terlepas daripada memperkatakan cinta monyet yang menjadi nadi kepada kehidupan mahasiswa masa kini. Cinta sebenarnya merupakan satu fitrah yang ada di dalam hati setiap manusia. Cinta wujud dari satu perasaan yang halus. Cinta mewujudkan perasaan kasih sayang dan belas kasihan sesama manusia serta makhluk di dunia ini. Tanpa perasaan cinta, seseorang itu akan merasai kekosongan di dalam jiwa mereka.

Benarkah seperti yang dikatakan ‘cinta pandang pertama itu wujud’? Pakar-pakar psikologi mengatakan ia wujud. Salah satu teori psikologi yang digunakan bagi menerangkan fenomena itu adalah teori kuasa tarikan. Setiap individu memiliki kuasa tarikan, ada yang memiliki kuasa tarikan tinggi dan ada pula yang memiliki kuasa tarikan rendah.

Menurut pakar psikologi, siswi menganggap cinta adalah sejenis emosi. Sebaliknya, siswa pula mengatakan cinta adalah suatu peristiwa atau kejadian, bukannya emosi.Setiap peristiwa mempunyai permulaan dan penghujung. Oleh itu bagi mahasiswa atau remaja lelaki, sekali mereka jatuh cinta dengan pasangannya, maka cinta itu akan terus kekal jika tiada halangan yang menimpa. Oleh sebab itu, lelaki apabila telah melafazkan cinta, maka baginya selepas itu perkataan cinta itu tidak perlu disebut-sebut lagi.

Berlainan dengan mahasiswi atau remaja perempuan, mereka sentiasa mahu mendengar kata-kata cinta. Realiti atau ilusi? Bercinta di IPT, sesuai atau tidak? Terdapat pelbagai pendapat berkenaan hal ini. Namun bagi penulis, cinta di IPT boleh dijalinkan asalkan tahu batasan masing-masing. Perasaan untuk mencintai dan dicintai memang tidak dapat dielakkan oleh semua insan termasuklah mahasiswa. Perhubungan ini seharusnya membawa kesan yang positif bagi mahasiswa kerana mereka mempunyai pendorong untuk memberi galakan atau persaingan dalam bidang pelajaran selain ibu bapa yang sentiasa mendoakan kejayaan mereka. Ramai mahasiswa melafazkan cinta tetapi mereka sendiri tidak mengetahui mengapa dan kenapa mereka bercinta.

Cinta dan permasalahannya telah menjadi perkara serius dalam kehidupan di kampus. Kerana cinta, pertelingkahan antara kawan berlaku, keputusan akademik merosot dan hidup terumbang-ambing. Namun ada juga yang sebaliknya. Pertembungan antara cinta hakiki dengan cinta palsu menyebabkan mahasiswa Muslim menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu menyebabkan mahasiswa Muslim memusnahkan etika spiritual dan menodai sosial sehingga ada yang sanggup membunuh diri akibat tekanan perasaan yang sukar untuk dikawal.

Islam tidak memusuhi cinta kerana ia sesuai dengan ciri-ciri Islam sebagai agama yang menepati fitrah manusia. Malah Islam memandang tinggi persoalan cinta yang tentunya merupakan perasaan dan fitrah yang menjiwai naluri setiap manusia. Bagaimanapun, cinta dalam Islam perlu melalui peringkat-peringkat berikut :

1. Cinta Kepada Allah

Cinta yang tertinggi adalah cinta kepada Allah. Tanpa cinta kepadaNya, ia tidak akan memberi pulangan yang bererti, sedangkan apa yang menjadi tunjang kepada Islam ialah mengenali dan mencintai Allah.

Firman Allah swt : “…(walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain daripada Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah….”(Surah Al-Baqarah:165)

2. Cinta Kepada Rasulullah s.a.w. dan para Anbia’

Ketika manusia dalam kegelapan, maka diutuskan seorang pembawa obor yang begitu terang untuk disuluhkan kepada manusia ke arah jalan kebenaran. Pembawa obor tersebut adalah Rasulullah s.a.w. Maka, menjadi kewajipan kepada kita untuk memberikan cinta kepada Rasulullah s.a.w. dan para anbia’ dengan mengikut segala sifat yang terpuji baginda. Atas rasa cinta inilah, para sahabat sanggup bergadai nyawa dan menjadikan tubuh masing-masing sebagai perisai demi mempertahankan Rasulullah s.a.w. dalam usaha menyebarkan agama Islam.

3. Cinta Sesama Mukmin

Perasaan kasih sayang sesama manusia merupakan tunggak utama untuk menyalurkan konsep persaudaraan. Cinta inilah yang mengajar kita supaya mencintai ibu bapa, saudara mara, jiran tetangga , kawan-kawan dan semua makhluk Allah.

Itulah cinta di dalam Islam. Ia harus diasaskan di atas dasar keimanan kepada Allah. Alangkah ruginya cinta yang lari dari landasan iman. Lalu akan hanyutlah jiwa-jiwa yang menyedekahkan dirinya untuk diperlakukan oleh ‘syaitan cinta’ sewenang-wenangnya.

Pengalaman sudahpun mengajar kita bahawa jangan sesekali bermain cinta, nanti terbakar diri. Jangan kita tertipu dengan pesona cinta yang dihiasi perbagai janji dan sumpah setia. Jangan kita mabuk dengan rindu dan asyik yang membuai serta melenakan. Seteguk kita minum dari kendi cinta terlarang, racunnya akan meresap membunuh akal, jiwa dan perasaan. Pada ketika itulah cinta dikatakan buta. Maka butalah mata hati dan mata kepala.

Mahasiswa selalu bertanya apakah salah kami bercinta? Tidak, bercinta memang tidak salah justeru ia adalah fitrah semulajadi yang Allah kurniakan kepada setiap manusia. Ingin dicintai dan mencintai adalah ‘instinct’. Jiwa manusia memerlukan cinta seperti jasad yang perlukan makanan. Oleh kerana cinta adalah fitrah, maka tentulah tidak salah untuk merasainya. Namun Allah tidak mengurniakan cinta begitu sahaja. Oleh itu, Dia mencipta peraturan cinta demi menjaga kemurniaannya. Peraturan-peraturan inilah yang kerap dilanggar oleh para remaja kini.

Rasa cinta tidak salah tetapi kesalahan selalu berlaku sewaktu menjalinkan hubungan cinta. Di sinilah berlakunya cinta terlarang iaitu cinta yang menafikan peraturan Tuhan. Ketika itu fitrah telah menjadi fitnah. Bila kehendak semulajadi tidak disalurkan atau diisi mengikut peraturan maka akan berlakulah kekalutan dan kemusnahan. Peraturan cinta diadakan kerana Allah mencintai manusia. Allah menginginkan keselamatan dan kesejahteraan buat manusia dalam melaksanakan keinginan fitrah semulajadinya.

Peraturan cinta bagai lampu isyarat di jalan raya. Kereta diciptakan dengan kuasa untuk bergerak, tetapi pergerakannya perlu diatur dan dikawal. Jika tidak, dengan kuasa itu akan berlakulah perlanggaran dan pertembungan. Begitulah cinta, ia adalah kuasa tetapi kuasa itu perlukan peraturan dan kawalan. Peraturan utama dalam cinta adalah cinta itu perlu didasarkan kepada cinta Allah. Allah memberi kita fitrah lalu kita niatkan dengan fitrah itu boleh menghampirkan diri kita kepadaNya. Cintailah sesiapa pun tetapi pastikan cinta itu memudahkan kita mencintai Allah. Selain itu, pastikan juga semasa menjalinkan hubungan cinta tidak ada hukum Allah yang dilanggar.

Maka dalam meniti usia remaja, mahasiswa perlu berhati-hati dengan mainan perasaan walaupun perkara yang amat sukar dilakukan, apatah lagi semakin dihambat usikan perasaan, semakin ia datang mencengkam. Itulah azam kita untuk melawan nafsu dan alangkah malunya untuk kita tewas dan kita sendiri merelakan diri dibawa oleh arus yang menghancurkan.

Allah Maha Mengetahui dan Maha menyayangi. Segala peraturanNya dibuat dengan rasa cinta terhadap hambanya. Cinta suci mampu tumbuh tanpa semua itu dan cinta itu pasti akan membawa ke gerbang perkahwinan untuk bercinta lagi dengan seribu keindahan. Bahkan, jika ditakdirkan cinta itu akan terus bersemi dan bersambung ke alam akhirat. Ketika itulah fitrah akan menjadi anugerah.











oleh: Najidah Yahaya (JHEPA) UPSI

Monday, September 27, 2010

Jom Meriahkan Ijtima' Eidulfitri 2010


Assalamualaikum dan salam mahabbah buat semua ahli rakan surau ar-rasyidin, kolej harun aminurrashid tercinta. Anda semua dijemput hadir ke Ijtima' Eidulfitri (jamuan raya rakan surau) pada tarikh, masa dan tempat berikut...


tarikh: 09 okt. 2010 (Sabtu)
masa: 9 malam (selepas solat isya')
tempat: foyer blok 3



Majlis ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah islamiah sesama ahli rakan surau. Kehadiran anda sangat dihargai dan didahulukan dengan ucapan syukran jazilan. Semoga Allah memberkati majlis yang bakal berlangsung....insya'Allah...^^,


ila liQa' wa ma'a salama....

Saturday, September 25, 2010

Isu Gabung Puasa Sunat & Qadha



Oleh:


Zaharuddin Abd Rahman


http://www.zaharuddin.net/




Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :



Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang spesifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.



Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.




Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti’ itu dipersoalkan, iaitu :-



1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid’ atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid’. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.



2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a’lam.



3. Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka ini lah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana aisyah tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut:


كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان


Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya’ban” ( Riwayat Muslim, no 101)


4. Amalan wajib (qadha) memerlukan niat yang ‘jazam’ (tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.



Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)



5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad ‘Aayish al-’Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW


من صام رمضان ثم أتبعه ستاً من شوال فكأنما صام الدهر


Ertinya: “Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)” (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).



6. Kita dapat melihat penggunaan ‘fe’il madhi’ iaitu ‘past tense’ bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.



7. Hujjah ulama yang mengharuskannya adalah hadith



"Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan.” (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)



Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).



Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh di buat sesuka hati di dalam ibadah.



Kesimpulan



Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini: Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);


Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah “keringanan” bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.




*Tambahan


  • (Mazhab Syafie)

Niat puasa enam tidak boleh disekalikan dengan puasa qadha.

Imam as-Syafie di dalam kitab muktabarnya al-Umm ketika mensyarahkan bab 'Innamal a'malu binniat' (setiap amalan dengan niat) menyebut hendaklah dibezakan ibadah puasa ramadhan, puasa nazar, puasa kafarat, puasa qadha' dan puasa tatawwu' (sunat).


  • Imam Jalaluddin as Syuyuti di dalam kitab al Isybah juga berpendapat demikian hendaklah diasingkan puasa Ramadhan, atau nazar atau puasa sunnat.


  • MANAKALA jawapan [Fataawa al-Lajnah al-Daa’imah, 10/383] dalam masalah ini seperti berikut:


"Alhamdulillah. Tidak ada salahnya berpuasa Isnin-Khamis untuk mengqadha' puasa Ramadhan yang tertinggal, dengan syarat puasa dilakukan dengan niat mengqadha puasa...... Mudah-mudahan (moga2) anda mendapat 2 ganjaran sekali, ganjaran melakukan Qadha' dan ganjaran melakukan puasa sunat, dan fadhilat yang Allah berikan itu luas. Walaupun jika anda hanya mendapat ganjaran mengqadha' puasa, ia adalah memadai, kerana mengqadha' puasa adalah lebih mustahak dari melakukan puasa sunat. Akan tetapi jika kamu berniat melakukan puasa sunat dan tidak berniat melakukan qadha', maka kamu masih belum lagi memenuhi tuntutan kefarduan. Maka masih lagi wajib melakukan qadha' puasa Ramadhan. Wa Allahu 'alam dan selawat dan salam kepada Nabi Muhammad saw dan keluarganya."



  • AKAN TETAPI,

Jika terdapat masa yang sangat pendek (takut tertinggal peluang menunaikan puasa 6), berbanding dengan puasa qadha' yang banyak; seperti didalam kes wanita yang panjang haidhnya, dibenarkan melakukan puasa enam hari di dalam bulan Syawwal, dan kemudian mengqadha'nya sebelum menjelang Ramadhan yang akan datang. Syeikh Ibn Utsaimin mengatakan ini merupakan pandangan yang lebih kepada kebenaran. [Sharh al-Mumthi' 6/448].
  • Berkenaan persoalan tentang mestikah puasa enam Syawwal itu BERTURUT-TURUT SELEPAS HARI RAYA ATAU TIDAK?


Jawapan Lajnah Fatwa Tetap Arab Saudi dalam persoalan ini seperti berikut:



“Tidak semestinya dia berpuasa terus selepas hari raya. Bahkan harus untuk dia memulakan sehari atau beberapa hari selepas hari raya. Samada dia hendak berpuasa bersambungan ataupun berpecah-pecah dalam bulan Syawwal. Ia berdasarkan apa yang mudah baginya. Perkara ini luas (pilihannya)”. (Fatawa al-Lajnah al-Daimah li al-Buhuth al-‘Ilmiyyah, 10/391).


Wallahualam.

Tuesday, September 14, 2010

SALAM AIDILFITRI BUAT SEMUA WARGA KHAR


Assalamualaikum dan salam mahabbah buat semua. Alhamdulillah, selawat dan salam buat rasul junjungan Nabi Muhammad s.a.w kerana kecintaannya pada umat menyebabkan kita mampu menikmati nikmat islam dan iman seperti hari ini. Syukur juga kepada Allah swt kerana pada tahun ini sekali lagi kita diberi kesempatan untuk meraikan kemeriahan sambutan aidilfitri bagi tahun 1431 Hijrah... Alhamdulillah...

Buat semua warga Kolej Harun Aminurrashid (KHAR) Universiti Pendidikan Sultan Idris, pihak Rakan Surau Ar-Rashidin dan Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah (LPS) mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Maaf Zahir dan Batin andai ada terkasar bahasa dan tersilap bertingkah. Moga sambutan Syawal kali ini diraikan dengan rahmat dan kasih sayang Allah swt... insya'Allah....

Sebagai renungan buat semua, "Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia berpuasa enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti dia berpuasa sepanjang tahun." (HR Muslim) ... renung-renungkan dan selamat beramal....


Sampai bertemu kembali di Kolej Harun Aminurrashid tercinta... Sekali lagi Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri dan Selamat bercuti dari kami pihak Rakan Surau Ar-Rashidin dan Biro Latihan dan Pembangunan Sahsiah.... sampaikan salam buat keluarga tercinta dikampung...http://www.emocutez.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

HOME