Setiap anak wajib berbakti dan mentaati ibu bapa bertujuan membahagiakan kehidupan mereka melalui hari tua. Ajaran Islam meletakkan ibu bapa pada kedudukan yang mulia.
Banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu dalam bentuk metarial dan hubungan kasih sayang. Ini bersesuaian dengan fizikal ibu bapa yang semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.
Terdapat sekurang-kurangnya 10 bakti perlu dilakukan setiap anak terhadap ibu bapa.
- Memberi nafkah. Terdapat ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Kalaupun berkerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
- Menyediakan tempat tinggal. Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal, atau tidak sesuai untuk didiami, adalah menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal yang lebih sesuai kepada ibu bapa.
- Memberi kasih sayang. Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini telah dicurahkan ibu bapa. Kasih sayang ibu dan bapa tidak pernah padam terhadap anaknya. Jadi seharusnya kasih sayang itu dibalas dengan sebaik-baiknya.
- Memberi perhatian. Ibu bapa yang diabaikan akan merasai kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak diperdulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
Banyak ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah rumah penjagaan orang-orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa. Sedangkan, ibu bapa mampu menjaga dan membesarkan beberapa orang anak.
- Memenuhi permintaan. Ibu bapa seringkali memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa. Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat, dan seumpamanya.
Malah keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata: Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad: "Apakah perbuatan disukai oleh Allah ?Lalu baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa ? tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi ? Jawab baginda: Berjihad pada jalan Allah.
- Melakukan apa yang disukai. Ibu bapa sudah tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka. Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud: Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua ibu bapa. Maka sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
- Bercakap dengan lemah lembut. Satu cara menjaga perasaan ibu bapa ialah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendaklah direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka.
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
- Menghadiahkan kejayaan. Ibu bapa sentiasa mengharapkan kejayaan anak mereka. Anak hendaklah berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai kejayaan agar dapat dikongsi kegembiraannya bersama-sama dengan ibu bapa.
- Meluangkan masa bersama-sama. Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi ibu bapa. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
- Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan biarpun ibu bapa telah meninggal dunia.
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya.
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup.
Dengan Nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…
“Ya ALLAH…
Rendahkanlah suaraku bagi mereka…
Perindahlah ucapanku di depan mereka…
Lunakkanlah watakku terhadap mereka dan
Lembutkan hatiku untuk mereka…
Ya ALLAH…
Berilah mereka balasan yang sebaik-baiknya,
atas didikan mereka padaku…
dan Pahala yang besar
atas kesayangan yang mereka limpahkan padaku…
peliharalah mereka sebagaimana mereka memeliharaku…
Ya ALLAH…
Apa saja gangguan yang telah mereka rasakan
atau kesusahan yang mereka deritakan kerana aku,
atau hilangnya sesuatu hak mereka kerana perbuatanku,
jadikanlah itu semua penyebab rontotnya dosa-dosa mereka
dan bertambahnya pahala kebaikan mereka
dengan perkenan-MU ya ALLAH…
hanya ENGKAULAH
yang berhak membalas kejahatan dengan kebaikan berlipat ganda…
Ya ALLAH…
Bila magfirah-MU telah mencapai mereka sebelumku,
Izinkanlah mereka
memberi syafa’at untukku….
Tetapi jika sebaliknya,
maka izinkanlah aku memberi syafa’at untuk mereka,
sehingga kami semua berkumpul bersama dengan santunan-MU
di tempat kediaman yang dinaungi kemulian-MU,
ampunan-MU serta rahmat-MU…
Sesungguhnya ENGKAUlah yang memiliki Kurnia Maha Agung,
serta anugerah yang tak berakhir dan
ENGKAUlah yang Maha Pengasih di antara semua pengasih…
Amiiin Ya Rabbal ‘Alamiiin…”
0 comments:
Post a Comment