Andai ini sepuluh malam Ramadhan terakhirku
Ramadhan yang sering dirindui pada permulaanya kini semakin dilupakan apabila keghairahan menyambut syawal mula menyubur dalam diri. Lagu raya mula berkumandang membawa pelbagai impian dan harapan kepada sang pendengar, mula berkira-kira persiapan untuk menyambut syawal walaupun Ramadhan masih berbaki belas-belas hari lagi. Saf-saf Solat tarawih juga sudah mula berkurang tidak semeriah diawal bulan ramadhan dahulu. Dan setiap tahun, perkara ini tetap berulang walau disebut berkali-kali akan kemuliaan bulan ramadhan terutama di sepuluh malam yang terakhir.
Tidak salah untuk bergembira menyambut kedatangan bulan syawal yang akan tiba, tetapi andai kita menyedari berkatnya bulan ramadhan pasti kita tidak sanggup untuk membiarkan ia berlalu meninggalkan kita. Apakah langkah yang terbaik untuk mengembalikan semula jiwa serta semangat untuk beribadah dalam bulan ramadhan ini terutama dalam mengejar sepuluh ramadhan yang terakhir. Mengingati kematian itu adalah ubat yang terbaik.Jika mengingati mati, pasti kita akan ketakutan atau bersedih kerana mengingatkan apa yang bakal dihadapi di alam akhirat.
Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati, dan pada hari kiamat saja akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan daripada neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya dia sudah berjaya.
"Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahan dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanya kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya.” (Ali Imran: 185).
Ketahuilah kematian pasti tiba kepada seluruh umat tanpa mengenal erti bangsa, kedudukan, kekayaan atau gagah perkasa. Tiada sesiapa pun yang boleh melarikan diri daripada maut. Apabila ditetapkan waktu kematian seseorang, ia tidak akan tertunda atau dicepatkan walaupun sesaat.
“Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan.Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar.” [Al-Qadr]
Allah menjelaskan dalam surah al-Qadr, bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang dikenali sebagai "Lailatul Qadr", pokok daripada ajaran isi kandungan surah ini ialah al-Quran mula diturunkan pada malam tersebut yang nilainya lebih baik daripada 1,000 bulan, para Malaikat dan Jibril turun ke dunia pada malam tersebut untuk mengatur segala urusan. Surah al-Qadr ini pula diturunkan di kota Makkah dan dihimpunkan dalam surah-surah Makkiyyah, iaitu surah yang diturunkan sebelum hijrah baginda Rasulullah s.a.w ke Madinah, isi pengajarannya ialah beriman kepada Allah dan rukun-rukun iman yang lain.
Perbanyakkan tadabbur ayat-ayat al-Quran kerana jiwa yang gersang pasti akan menyubur semula kerana daripada al-Quran:
Ayat 15-16 surah al-Maidah : "Sesungguhnya telah datang kepada kamu cahaya (Nabi Muhammad) dari Allah dan kitab yang menerangkan (al-Quran)."
Dengan kitab itulah Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keredaan-Nya ke jalan keselamatan, (dan dengan kitab itu pula) Allah mengeluarkan orang-orang itu dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang dengan izin-Nya dan menunjuki mereka ke jalan yang lurus.
Dalam ayat 9 surah al-Hadid : "Dialah (Allah) yang menurunkan kepada hamba-Nya (Muhammad) ayat-ayat yang terang (al-Quran) supaya Dia mengeluarkan kamu dari kegelapan kepada cahaya (Islam)."
Jelas dari keterangan kedua-dua ayat di atas menunjukkan bahawa fungsi sebenar penurunan al-Quran ke atas manusia, tidak lain adalah untuk menyelamatkan mereka dari terus berada dalam kegelapan dunia yang terpaksa meraba-raba serta tanpa hala tuju hidup yang jelas dan sempurna kepada cahaya Islam, tidak cukup dengan itu, Allah SWT melalui kitabNya itu bertujuan untuk memimpin mereka ke jalan yang benar dengan memberikan kepada mereka petunjuk kebenaran agar mereka ditempatkan ke dalam syurga di akhirat kelak.
Hidupkan semula jiwa dan roh yang kian luntur untuk mengabdikan diri kepada al-Khalik.
Carilah hikmah yng terkandung dalam bulan barakah ini,berusaha untuk bangun malam serta memperbanyakkan zikir kepada Allah SWT. Wahai orang yg telah menyia-nyiakan umurnya, kejarlah segala yg telah terluput (tidak sempat dikerjakan) olehmu, di malam Lailatul Qadr ini. Sebab pada malam inilah sebagai pengganti umur, beramal di malam ini lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak mendapat kebaikan pada malam itu, niscaya ia sangat merugi.
Perbanyaklah ibadah, seperti zikir dan do’a, istighfar, membaca Qur’an, solat sunnat, dan ibadah-ibadah yang lain (sedekah). Ayuh, kita pertingkatkan lagi ibadah kita 10 hari terakhir ini…mudah-mudahan kita ‘bertemu’ dengan malam Lailatul Qadr.
Wallahu 'alam.
Sumber PMIUSM
0 comments:
Post a Comment