Alkisahnya;Telah dua bulan musim hujan berlalu sehingga dimana-mana pepohonan nampak menghijau. Kelihatan seekor ulat di antara dedaun menghijau yang bergoyang-goyang diterpa angin.
"Apa khabar daun hijau," katanya.
Tersentak daun hijau menoleh ke arah suara yang datang."Oh, kamu ulat. Badanmu kelihatan kurus dan kecil, mengapa?" tanya daun hijau.
"Aku hampir tidak mendapatkan dedaunan untuk makananku. Bolehkah engkau membantuku sahabat?" kata ulat kecil.
"Tentu..tentu..dekatlah kemari." balas daun hijau.
Sementara itu daun hijau berfikir, "jika aku memberikan sedikit dari tubuhku ini untuk makanan si ulat, aku akan tetap hijau. Hanya sahaja aku akan kelihatan berlubang-lubang. Tapi tak mengapalah." daun hijau berbisik sendiri.
Perlahan-lahan ulat menggerakkan tubuhnya menuju daun hijau. Setelah makan dengan kenyang ulat berterimakasih kepada daun hijau yang telah merelakan bahagian tubuhnya menjadi makanan si ulat. Ketika ulat mengucapkan terimakasih kepada sahabat yang penuh kasih dan pengorbanan itu, ada rasa puas di dalam diri daun hijau. Sekalipun tubuhnya kini berlubang di sana-sini namun ia bahagia dapat melakukan sesuatu bagi ulat kecil yang lapar.
Tidak lama berselang ketika musim panas datang daun hijau menjadi kering dan berubah warna. Akhirnya ia jatuh ke tanah, disapu orang dan dibakar...
Pedoman,
Apa yang terlalu bererti di dalam hidup sehingga kita enggan berkorban sedikit sahaja bagi sesama manusia? Nah... akhirnya semua yang ada akan "mati". Daun rela melakukan sesuatu untuk kepentingan pihak lain dan sejenak mengabaikan kepentingan sendiri. Baginya berkorban merupakan sesuatu perkara yang mengesankan dan terasa indah serta memuaskan. Dia bahagia melihat sahabatnya dapat tersenyum kerana pengorbanan yang ia lakukan. Ia juga melakukannya kerana menyedari bahawa ia tidak akan selamanya menjadi “daun hijau” dan memiliki keindahan. Suatu hari ia akan kering dan jatuh juga.
Demikianlah kehidupan kita. Hidup ini hanya sementara, kemudian kita akan mati. Kita akan tinggalkan dunia ini. Itu sebabnya kita perlu mengisi hidup ini dengan perbuatan-perbuatan baik, kasih, pengorbanan,pengertian, kesetiaan, kesabaran dan kerendahan hati.
Yang mana satukah yang sering kita lakukan? Menjadi ulat kecil yang menerima kebaikan orang atau menjadi daun hijau?
Nota: Rasulullah bersabda " Tidak ada dua perkara yang lebih utama daripada iman kepada Allah s.w.t dan memberi manfaat kepada sesama kaum muslimin, dan tidak ada dua perbuatan yang lebih buruk daripada syirik kepada Allah dan memberi mudarat kepada kaum muslimin"
0 comments:
Post a Comment