Islam meletakkan aqidah sebagai asas utama dalam perjuangan. Bahkan ia merupakan rahsia kekuatan Islam sepanjang zaman. Dengan kata lain, Islam tidak menjadikan isu sebagai landasan utama kerana persoalan aqidah adalah bersifat menyeluruh dan evergreen.
Perjuangan yang berasaskan isu akan tamat dengan selesainya isu berkenaan. Sebaliknya Islam sentiasa mengetengahkan isu-isu yang berpaksi pada aqidah untuk menjelaskan tuntutan sebenar tauhid.
Kalimah syahadah La ilaha illa Allah yang menjadi tema tauhid itu sendiri adalah suatu cetusan revolusi atau perubahan besar-besaran di dalam jiwa dan kehidupan manusia kerana ia bererti pengakuan kepada kekuasaan menghukum dan memerintah tertinggi yang disrahkan hanya kepada Allah.
Ia adalah cetusan revolusi terhadap kuasa duniawi yang telah merampas suatu sifat khusus Tuhan yang utama iaitu menentukan perjalanan dan peraturan hidup manusia . Islam adalah revolusi terhadap kenyataan hidup yang bersandarkan kepada rampasan hak Tuhan itu dan juga merupakan suatu pukulan maut ke atas sebarang peraturan dan kekuasaan yang tidak diredhai Allah.
Sebaliknya Islam menuntut manusia tunduk dan patuh kepada Allah s.w.t. selaras dengan pengertian kalimah Islam sendiri.
Syed Qutb menyifatkan Islam merupakan revolusi di dalam kehidupan manusia. Dalam hubungan ini Syed Qutb menyatakan:
“Seorang yang menganut Islam itu sebenarnya telah melucutkan dari dirinya segala sesuatu dari zaman lampaunya di alam jahiliyah. Dia merasakan ketika dia mula menganut Islam bahawa dia memulakan zaman baru dalam hidupnya; terpisah sejauh-jauhnya dari hidupnya yang lampau di zaman jahiliyah. Sikapnya terhadap segala sesuatu yang berlaku di zaman jahiliyah dahulu ialah sikap seorang yang sangat berhati-hati dan berwaspada.”
Ibn Taimiyah pula menyatakan apabila ucapan La ilaha illa Allah itu merupakan ucapan yang sebenar, jadilah orang yang mengucapkannya itu ahliNya dan tergolong dalam golonganNya (golongan Allah), manakala orang yang mengingkarinya adalah musuhNya dan orang-orang yang dimurkaiNya.
Risalah Islam yang disebarkan melalui dakwah yang telah dimulakan oleh para nabi itu sendiri bersifat menyeru kepada Allah dan menentang taghut iaitu segala perkara atau sembahan yang bersifat merampas hak-hak ketuhanan sama ada dari sudut ibadah, undang-undang dan pemerintahan. Dalam perkara ini, Allah s.w.t. berfirman dalam Surah al-Nahl ayat 36 yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul kepada setiap umat (untuk menyerukan): “Sembahlah Allah dan jauhilah taghut.”
Peranan utama para rasul yang diutuskan Allah adalah membawa petunjuk kepada hambaNya. Ia terdiri dari dua perkara penting yang saling memerlukan dan menyempurnakan di antara satu sama lain iaitu:
• Menyeru supaya beribadah dan mengabdikan diri hanya kepada Allah yang Esa
• Menyeru supaya menjauhi taghut
Jelas bahawa seruan Islam bukan setakat mengajak kepada kebaikan dengan menyembah Allah dan mentaatinya, tetapi dalam masa yang sama hendaklah menjauhi dan menentang taghut.
0 comments:
Post a Comment